Searching...

Get This

Monday, November 25, 2013
5:52 AM 0

Chong Wei menang mudah

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan keenam tahun ini melalui Siri Super Terbuka Hong Kong malam ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pemain nombor satu dunia.
Kemenangan Chong Wei yang menewaskan pemain Indonesia Sony Dwi Kuncoro 21-13, 21-9 dalam masa 34 minit, bakal menjadi tonik terbaik untuk merampas semula gelaran Siri Super Final di sini, bulan depan.
“Saya tidak sangka begitu mudah menjinakkan Sony hari ini (semalam) kerana sebelum perlawanan saya menjangkakan saingan getir dan melakukan persiapan yang cukup mantap bagi menghadapinya.

“Tapi tidak mengapa asalkan saya menang, kerana sebelum ini saya kecewa dengan dua kekalahan di Denmark dan Perancis,” kata Chong Wei.
Foto
DATUK Lee Chong Wei meraikan kemenangan selepas menewaskan Sony Dwi Kuncoro di final Siri Super Terbuka Hong Kong.- FOTO AFP

Dia yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk tidak beraksi pada Siri Super Final di Kuala Lumpur bulan depan terpaksa mengenepikan hasrat untuk berehat panjang itu.

Senada dengan polisi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahukannya beraksi, beliau berkata: “saya harap dapat mengekalkan semangat kemenangan ini untuk menghadapi kejohanan Siri Super Final bulan depan.

“Kali ini kejohanan itu kembali ke Malaysia dan saya akan berjuang habis-habisan.”

Kemenangan itu membolehkan Chong Wei membawa pulang wang tunai bernilai AS$26,250 (RM84,320).

Dalam pada itu, China meraih dua gelaran di Hong Kong menerusi acara perseorangan dan beregu wanita.

Wang Yihan mengatasi rakan senegara, Wang Shixian 21-13, 16-21, 21-15 manakala gandingan Bao Yixin-Tan Jinhua juga mengatasi rakan senegara mereka, Ou Dongni-Tang Yuanting 18-21, 21-16, 21-15.

Korea Selatan meraih satu kejuaraan menerusi beregu lelaki, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong selepas mengatasi rakan senegara Kim Ki Jung-Kim Sa Rang 12-21, 21-15, 21-18.

Satu lagi gelaran menjadi milik England apabila gandingan beregu campuran Chris Adcock-Gabrielle White menewaskan pasangan China, Liu Cheng-Bao Yixin 21-14, 24-22.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...