Searching...

Get This

Wednesday, April 1, 2015
12:28 PM 0

Wanita Pertama Di Malaysia Ditangkap Kerana Sokong IS


wajah sebenar wanita 

KUALA LUMPUR, 1 April :


Seorang wanita berusia 26 tahun dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan cuba memberi sokongan kepada anggota militan Islamic State (IS), dengan cara mengahwini anggota kumpulan itu.
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan selepas Ummi Khalsom Bahak, 26, seorang penolong pegawai kredit menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu semasa kes berkenaan disebut pada Selasa.

Kamardin memerintahkan Ummi Khalsom menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu 5 Okt tahun lepas.

Difahamkan Ummi Khalsom merupakan wanita tempatan pertama yang dihukum penjara berhubung penglibatan dengan IS.

Pada 31 Okt lepas, Ummi Khalsom didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang kerana cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan pesawat Airasia dari klia2, ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan seorang anggota kumpulan itu, Muhammad Aqif Huesen Rahizat.
Ummi Khalsom, yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan, didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, klia2, pada jam 5.20 pagi, 5 Okt 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J9(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau 30 tahun penjara atau denda dan harta yang digunakan untuk tujuan itu boleh dirampas.

Muhammad Aqif Huesen dan kumpulan IS disenaraikan sebagai pengganas oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram pada 12 Nov 2014.
Mengikut fakta kes, Ummi Khalsom berkenalan dengan Muhammad Aqif Huesen melalui akaun Facebook dengan menggunakan nama ‘Umiey Summayah Al Malazie’ dan kemudian sering berkomunikasi dengan lelaki terbabit menggunakan aplikasi ‘Whatapps’ dan ‘Kakaotalk’.

Muhammad Aqif Huesen kemudian mengajak wanita itu berkahwin dan tinggal di Syria.

Ummi Khalsom bersetuju untuk berkahwin dan menyertai lelaki itu ke Syria selepas Muhammad Aqif Huesen berjanji untuk mendapatkan pembiayaan tiket penerbangan untuknya.

Pada 13 Sept 2014, wanita itu enggan membeli tiket penerbangan dari klia2 ke Indonesia kerana takut ditangkap pihak polis, sebaliknya bersetuju untuk membeli tiket dari klia2 ke Brunei dan kemudian akan membeli tiket ke Istanbul, Turki secara dalam talian.
Ummi Khalsom juga memberitahu keluarganya di Seremban bahawa ibu kepada Muhammad Aqif Huesen, iaitu Kasmah Ismail akan datang merisiknya, namun bapa Ummi Khalsom membantah niat anaknya itu.

Bapanya kemudian membuat laporan polis selepas menyedari anaknya itu melarikan diri ke Melaka.
Dalam pada itu, rakan kepada Muhammad Aqif Huesen sempat mendepositkan wang berjumlah RM5,000 selepas Ummi Khalsom menghubunginya untuk membeli tiket penerbangan baharu.

Bagaimanapun, Ummi Khalsom tidak sempat membeli tiket penerbangan barunya selepas ditangkap oleh pegawai dari Bahagian E8, Cawangan Anti-Keganasan, Cawangan Khas, Ibu Pebajat Polis Bukit Aman di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, klia2.
Antara barangan miliknya yang turut ditahan adalah sebuah telefon bimbit, pasport, tiket penerbangan, sebuah beg galas yang mengandungi pakaian serta wang tunai.

Ummi Khalsom dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.


Artikel Menarik:

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...