Searching...

Get This

Friday, January 10, 2014
4:30 PM 0

SUAMI PEMBACA BERITA BULETIN UTAMA TV3 DISAMUN

"Saya menjerit sekuat hati tatkala melihat suami diserang menggunakan besi oleh penyamun terbabit. Saya masih berdiri di kawasan hadapan rumah, sambil mendukung anak. Selalu kita melaporkan dalam berita, kali ini kejadian jenayah berlaku di hadapan mata," ujar Azawate Zenol Abidin. 

Azawate, 37 tahun, pembaca berita Buletin Utama, TV3.



Kejadian samun itu berlaku kira-kira jam 8.45 malam tadi di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

"Kami hendak pergi ke Hospital Tropicana untuk menziarahi saudara ibu mertua. Waktu itu hujan turun renyai. Suami memasukkan dahulu dua anak lelaki kami ke dalam kereta dan kemudian datang kembali berpayung ke pintu rumah untuk menjemput saya dan bayi kami berusia 9 bulan. Ketika itu dua lelaki bertopi keledar meluru ke arah dia," jelasnya lagi.

Saya dihubungi oleh rakan pemberita Ondscene lalu bergegas ke lokasi, tidak jauh dari rumah.



"Penyamun Melayu itu berkata, saya tidak mahu cederakan abang, bagi duit. Memikirkan keselamatan dua anak, 2 dan 4 tahun, berada di dalam kenderaan, saya kemudian menyerahkan beg duit kepada mereka. Dua lagi rakan penjenayah itu menunggu di atas motosikal kira-kira 10 meter dari pagar rumah. Masa itu saya memegang payung dan cuba menolak dia, saya dipukul di belakang kepala dan tercedera di bahu kanan akibat dihentak menggunakan senjata besi dan buku lima," ujar suaminya, Raqizal Khalis Husni, 38 tahun, tenang.

Laporan dibuat di Balai Polis Kota Damansara.



[ Azawatie menunjukkan lokasi kejadian ]


"Sebelum ini memang pernah berlaku kejadian ragut dan samun di sekitar kawasan ini. Kalau hujan, kena lebih berhati-hati kerana penjenayah tahu, waktu itu tidak ramai jiran tetangga berada di luar rumah. Sekitar jam lapan lebih pula, lelaki berada di surau. Jadi ruang itu digunakan oleh penjenayah, " celah jiran Azawate berkumpul di hadapan rumahnya.

"Telefon bimbit di tangan saya. Kejadian berlaku dalam tempoh terlalu singkat. Saya menjerit supaya adik lelaki saya masuk semula ke dalam rumah. Saya berpeluang merekodkan visual kejadian tetapi panik buat seketika," jelas Azawate kesal.


"Sewaktu kejadian berlaku, saya menghubungi nombor kecemasan 999 dan abang memberikan alamat rumah kepada petugas. Lama kami menunggu polis datang tetapi mereka tidak juga tiba. Kami kemudian dihubungi anggota polis dari Balai Kota Damansara dan meminta abang ipar saya membuat laporan di balai," kata adik Azawate.

Sebaik mengetahui kejadian samun terbabit, saya pantas menghubungi Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus pada jam 10.23 malam. 

"Saya hubungi unit peronda dengan kadar segera," ujar beliau.

Kereta unit peronda polis tiba dianggarkan dalam tempoh kurang 10 minit. Saya menyusul kira-kira seminit kemudian.

"Kami menerima maklumat pertama pada jam 10.30 malam dan terus begegas ke sini," ujar dua anggota polis terbabit.


Melalui pengalaman, apabila talian kecemasan 999 dihubungi, petugas terlebih dahulu merekodkan jenis kes dan alamat lokasi kejadian sebelum memindahkan panggilan ke balai polis paling hampir. 

Hairan, dalam kes ini, kepada siapakah maklumat terawal itu disalurkan oleh petugas 999 tatkala ahli keluarga terbabit berada dalam keadaan panik serta trauma? Mengakibatkan unit peronda polis tiba hampir 2 (DUA) jam selepas kejadian.

sumber: Bogger (pemberita)

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...