KOTA KINABALU 9 Sept. - Jeritan seorang lelaki yang tinggal bersebelahan rumah ibu mertuanya, berjaya menyelamatkan wanita itu dan dua lagi ahli keluarganya daripada tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lok Kawi Baru, Putatan dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, Siah Azan, 50, baru pulang daripada bekerja kampung dan berada di hadapan rumah manakala masing-masing seorang anaknya berusia belasan tahun dan cucunya berusia setahun di dalam.
Menurut Siah, tiba-tiba dia dikejutkan dengan jeritan menantunya yang tinggal bersebelahan rumah dan memintanya keluar segera untuk menyelamatkan diri kerana berlaku tanah runtuh.
"Saya yang panik bergegas membawa anak dan cucu keluar dan dia tidak sempat membawa barangan berharga. Tidak lama selepas itu, rumah kami dihempap runtuhan tanah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Siah berkata, kejadian itu telah meranapkan rumahnya yang diperbuat daripada separuh papan dan batu sehingga menyebabkannya terpaksa menumpang di rumah saudara-mara.
Pada masa sama, dia turut meminta pihak berkuasa meruntuhkan sebuah rumah batu yang telah lama ditinggalkan di atas bukit berkenaan kerana boleh menghempap kediaman penduduk lain di bawah.
Menantu Siah, Johan Roslan, 32, berkata, dia melihat tanah menggelongsor dengan laju ketika berada di luar rumah lalu menjerit meminta ibu mertuanya keluar untuk menyelamatkan diri.
Seorang lagi mangsa, Aslila Baron, 32, berkata, dia dan keluarganya terdengar bunyi kayu patah ketika berada di dalam rumah sebelum merasakan seperti bergerak perlahan-lahan.
"Mujurlah tiada apa-apa berlaku dan kami masih trauma sehingga sekarang," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang melawat tempat kejadian hari ini berkata, kerajaan negeri akan memberi bantuan sewajarnya kepada semua keluarga yang terjejas ekoran kejadian tanah runtuh itu.
sumber : Utusan Online
0 comments:
Post a Comment