KUALA LUMPUR - Nama Ong Boon Hua mungkin tidak mendatangkan apa-apa sentimen, namun jika disebut Chin Peng, sudah tentu ramai yang akan menarik muka kerana terkenangkan kisah kekejaman pasukan komunis.
Nama anak kelahiran Sitiawan, Perak itu tersemat dalam lipatan sejarah negara kerana terlibat dalam gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpinnya, yang didakwa telah membunuh kira-kira 10,000 orang, termasuk 5,900 anggota keselamatan, semasa zaman Darurat dari 1948 hingga 1960.
Justeru, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tidak hairanlah jika ramai yang menentang cadangan supaya abu mayat Chin Peng, yang dilantik sebagai Setiausaha Agung PKM pada usia 23 tahun, dibawa pulang ke Malaysia.
"Chin Peng bukan seorang warganegara Malaysia. (Untuk itu) tidak ada keperluan melayan permohonan membawa abu mayatnya balik ke sini. Apatah lagi permohonannya untuk balik ke Malaysia juga pernah ditolak mahkamah pada tahun 2005," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Pendukung ideologi komunis itu meninggal dunia kerana sakit tua pada usia 89 di Bangkok, Thailand semalam, dan ironinya tarikh kematiannya jatuh pada 16 September yang merupakan ulang tahun penubuhan Malaysia yang ke-50, memandangkan dia antara individu yang menentang penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, serta Singapura pada masa itu.
Ramlah berkata, kekejaman komunis bukan berlaku sehari dua atau sebulan dua, tetapi bertahun-tahun sehingga darurat diisytiharkan dari tahun 1948 hingga 1960.
"Ramai dibunuh tanpa belas kasihan, rumah penduduk kampung dibakar. Berapa ramai anggota polis kita yang cacat menentang komunis, anak-anak menjadi yatim, isteri kehilangan suami? Semua itu sejarah yang tidak boleh dilupakan," katanya.
Ramlah berkata, Chin Peng sebagai individu waras sudah tentu sedar bahawa keputusannya menyertai komunis pada tahun 1940 membawa kesan jangka panjang, termasuk dibuang negara.
Tambahnya, pemimpin negara juga bukanlah kejam sehingga menolak mentah-mentah permohonan bekas komunis untuk kembali ke Malaysia, malah Chin Peng sebelum ini ditawarkan untuk pulang ke negara ini berikutan Perjanjian Hatyai yang ditandatangani antara PKM, kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 yang membawa kepada pembubaran PKM.
Mengikut perjanjian itu, semua anggota PKM yang berasal dari Malaysia dan Singapura, termasuk juga keluarga mereka, dibenarkan pulang ke Malaysia jika mereka membuat permohonan itu dalam tempoh satu tahun perjanjian itu dimeterai.
Bagaimanapun, Chin Peng telah mensia-siakan peluang itu, katanya.
Ramlah berkata, kerajaan Perikatan yang memenangi Pilihan Raya Tanah Melayu pada 1955 juga turut membuat tawaran pengampunan kepada anggota PKM, namun Chin Peng dengan angkuhnya enggan menerima pelan damai itu, menerusi Rundingan Baling 1955, kerana mahu PKM diiktiraf sebagai parti bebas.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berkata, masyarakat Malaysia tidak perlu membebankan diri untuk memikirkan cita-cita Chin Peng kembali ke Malaysia kerana 'dia adalah seorang pendatang yang telah cuba untuk merampas kuasa dalam negara dengan kekerasan yang amat kejam'.
Malah ramai wira negara serta rakyat terkorban di tangan PKM, dan kerajaan juga turut membelanjakan wang yang banyak untuk menentang komunis bagi menjamin kedaulatan negara.
"Sebab apa kita nak hiraukan dia lagi dan hendak bagi tempat di bumi kita kepadanya? Biarlah dia dikebumikan di bumi mana dia hidup sejak 60 tahun lalu.
"Ratusan rakyat kita diculik pengganasnya sebelum 1989 dan hilang begitu sahaja...tiada tempat untuk keluarga mereka datang ziarah, maka mengapa kita mahu beri tempat (persemadian) kepadanya?," katanya.
Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr Azharudin Mohd Dali yang turut menyokong tindakan kerajaan tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang berkata: " Walaupun dibawa pulang dalam bentuk abu mayat dan disemadikan di sini, kemungkinan ianya nanti akan menjadi tempat lawatan kepada penyokongnya, atau mereka yang buta sejarah dan tidak begitu faham dengan matlamat Chin Peng."
Justeru, beliau berpendapat adalah lebih baik jika pengkisahan Chin Peng termasuk abu mayatnya diselesaikan di Bangkok, yang telah menjadi 'rumahnya' sekian lama.
Bagi bekas anggota Tentera British, Mohd Majmuddin@ Mohamed Ngah, 76, kenangan ditembak komunis pada bahagian paha, perut dan leher masih jelas di fikiran, selain turut menyaksikan rakan sepasukan tumbang di tangan komunis.
"Pasukan keselamatan adalah sasaran mereka dan kami harus sentiasa bersedia dan ada sekali saya baru hendak buka kasut, terus dapat arahan untuk ke Sungai Siput sebab ada tiga pengurus Eropah dibunuh komunis," katanya.
Beliau yang menentang komunis di Cameron Highlands, Tanjong Malim, Slim River dan Sungai Siput juga mendakwa telah menembak mati 36 komunis sepanjang berkhidmat dengan tentera British pada 1956 hingga 1962. - Bernama
0 comments:
Post a Comment