Searching...

Get This

Wednesday, November 20, 2013
10:31 PM 0

Bicara semula amah hempas anak majikan

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini, mengenepikan hukuman penjara 20 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap seorang amah Indonesia pada 19 Februari lalu atas kesalahan melambung dan menghempas anak majikan Februari lalu.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas meneliti hujah pihak pendakwa dan peguam bela sebelum mendapati perayu, Yuliana, 23, tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan terhadapnya ketika dia dituduh. 
Beliau juga memerintahkan Yuliana dibicara semula di Mahkamah Sesyen tetapi di hadapan hakim lain.

Dalam penghakimannya, Mariana mendapati perayu membuat pengakuan bersalah tanpa diterangkan secara jelas terlebih dahulu tentang hukuman dan sabitannya terhadap pertuduhan itu.

"Saya mendapati hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang apabila gagal menimbangkan sama ada perayu memahami pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kerana perayu tidak diwakili peguam.


“Justeru Mahkamah Sesyen perlu menjelaskan maksud undang-undang bagi kesalahan itu,” katanya yang turut membangkitkan beberapa perkara lain dalam penghakiman berkenaan. 

Mariana berkata, mengambil kira kesemua faktor berikut, beliau mendapati wujud keraguan yang sangat besar sama ada perayu memahami sepenuhnya pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. 

Yuliana dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 19 Februari lalu atas tuduhan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan kerana menghempas dan melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa di rumah ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini, pada jam 7.45 pagi 15 Februari 2013. 

Dia juga dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya Mohamed Hareez menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa dan bagi kedua-dua pertuduhan itu dia dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 tahun dan 5 tahun. 

Yuliana diwakili peguam T Vijayandran yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia bagi mengendalikan kes berkenaan. Turut hadir mendengar prosiding berkenaan Kaunselor Kedutaan Indonesia Dino Nurwahyudin. 

Yuliana kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan akan ditempatkan di lokap di Kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur sementara menunggu tarikh 6 Januari 2014 untuk sebutan semula kes berkenaan di Mahkamah Sesyen.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...