Searching...

Get This

Thursday, October 24, 2013
12:27 PM 0

Skim lambat kaya




Ramai orang mahukan kekayaan. Ramai juga yang ingin kekayaan dengan cepat. Selalu kita dengar mengenai skim cepat kaya yang akhirnya hanya meleburkan wang kita. Hari ini saya ingin sampaikan mengenai satu skim, tetapi bukan skim cepat kaya - skim lambat kaya!
Skim cepat kaya sering mempunyai risiko yang tinggi dan selalunya satu penipuan yang hanya melesapkan wang anda, skim lambat kaya pula berisiko rendah dan sesuatu yang boleh dilakukan oleh sesiapa saja termasuk anda. Lebih penting, ia pasti menjadi! 

Apakah itu skim lambat kaya? 
Sebenarnya ia satu pelaburan cara lama. Tiada apa yang canggih, kompleks dan sukar, tetapi pelaburan yang mudah iaitu anda menyimpan, melabur dan tunggu. Tunggu berapa lama? Tunggu seberapa lama yang mungkin! 
Minggu lalu sekiranya masih ingat, saya sampaikan mengenai pulangan kompaun. Ia membabitkan kaedah melaburkan wang dan biarkan pulangan atas pelaburan terbabit juga berkembang dan dilaburkan untuk tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya. 

Dengan melakukan cara ini, wang RM100,000 sekiranya disimpan selama tujuh tahun pada pulangan pelaburan 10 peratus tanpa disentuh, ia sememangnya akan menjadi! 

Lebih lama anda biarkan, lebih tinggi perkembangannya. Bererti sekiranya dibiarkan tanpa disentuh selama 14 tahun, wang terbabit akan berganda dua kepada RM400,000. Boleh tunggu lagi? Ia akan menjadi RM800,000 selepas 21 tahun tanpa disentuh. Ini yang dinamakan skim lambat kaya, tetapi apa yang penting ia pasti kaya! 

Satu lagi syarat sekiranya anda berminat untuk menyertai skim lambat kaya adalah memulakannya dengan cepat. Seperti anda dapat lihat contoh di atas, perkembangan wang anda berganda tiga kali apabila diberi masa selama 21 tahun. Ertinya, lebih cepat anda mulakan pelaburan dan mengambil manfaat pulangan kompaun, lebih tinggi pulangan anda dalam jangka panjang. 

Sebagai tambahan, lebih awal anda mula menyimpan, lebih rendah simpanan anda perlukan untuk meraih pulangan pelaburan yang lebih tinggi. 

Sekadar contoh, bayangkan anda kini berumur 25 tahun. Anda mampu menyimpan RM500 setiap bulan pada pulangan pelaburan 12 peratus setiap tahun menggunakan pelaburan dana bersama. Ketika mencecah umur 45 tahun, akibat pulangan kompaun, simpanan anda ditambah dengan pulangannya kini ia menjadi RM800,000. Wow! Sejumlah wang yang amat besar untuk seseorang berumur 45 tahun. 

Tetapi bayangkan anda berumur 35 tahun dan baru kini anda sedar mengenai kepentingan dan kekuatan skim lambat kaya ini. Berapakah yang perlu anda jimat dan simpan setiap bulan untuk mencecah RM800,000 ketika umur 45 tahun hasil pulangan kompaun? Jawapannya, anda perlu menyimpan sebanyak RM1,790 setiap bulan. Memang sukar, bukan? 

Pulangan kompaun mengambil elemen masa sebagai elemen yang amat penting dalam menggandakan wang anda. Lebih awal anda mulakan, lebih tinggi simpanan anda. Ertinya lebih lambat pulangan datang kepada anda, maka lebih besar jumlahnya yang dapat anda nikmati. 

Oleh itu, cari jalan sekarang untuk mulakan simpanan dan pelaburan anda. Usah ditangguh lagi. Kurangkan perbelanjaan dan elakkan kebocoran wang sini sedikit dan sana sedikit. Lama-lama yang sedikit itu apabila diberikan masa, akan menjadi simpanan yang besar. 


Tanyakan soalan anda dan berinteraksi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb 


Saudara Irfan Khairi, 

Saya sering mengikuti ruangan di Majalah M dan sememangnya banyak ilmu mengenai kewangan yang saya terlepas pandang sejak dulu seperti pulangan kompaun. 

Bagaimana pula hendak mengimbangkan diri kita dan kewangan? Kita sering disarankan untuk mengejar kekayaan, tetapi akibatnya masa untuk diri dan keluarga pula yang terjejas. Apakah komen saudara? 


Omar Abdullah, 
Klang, Selangor.
 


Jawapan 

Salam Omar, 
Terima kasih atas sokongan anda kepada Majalah M dan harapan saya anda terus mengikuti ruangan ini untuk memperoleh lebih banyak tip dan peringatan kewangan. 

Wang sememangnya penting, tetapi lebih penting lagi hubungan diri kita dan keluarga. Mengejar wang sehingga mengabaikan tanggungjawab diri sendiri dan keluarga juga tidak boleh. Begitu juga dengan terlalu banyak meluangkan masa untuk diri dan keluarga sehingga tiada masa mencari wang untuk keluarga ternyata bukan satu pilihan. Seringkali kes cerai dan pecah belah keluarga berpunca akibat wang. 

Apa yang penting adalah keseimbangan. Kalau hebat kewangan, perlu juga hebat dalam kekeluargaan. Tidak semestinya untuk mencapai sesuatu, kita perlu korbankan sesuatu yang lain. Walaupun hakikatnya itu yang sering dilihat di sekeliling kita - usahawan yang terlalu sibuk dengan perniagaan sehingga tidak sempat balik ke rumah untuk bersama keluarga dan tertinggal hari-hari penting keluarga. 

Waktu inilah perlu mencerminkan keadaan diri sendiri dan keluarga. Fikirkan juga matlamat diri untuk keluarga dan bukan saja matlamat kewangan. Matlamat diri dan matlamat kewangan perlu seimbang.

Mereka yang sering mengabaikan kekeluargaan kerana terlalu mengejar kewangan pula tidak mengimbangi kedua-dua matlamat ini. Lebih teruk, mereka hanya mempunyai matlamat kewangan, tetapi tidak mempunyai matlamat dan visi untuk diri dan keluarga.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...