PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia dari Pulau Pinang, Angelin Teh antara 44 mangsa yang dikhuatiri terbunuh dalam nahas pesawat terhempas di Pakse, selatan Laos semalam.
Wanita itu dipercayai bekerja dengan sebuah firma guaman dan berkahwin dengan warga Amerika.
Mereka menetap di Laos sejak tiga tahun lalu.
Suaminya turut maut dalam insiden itu.
Kedutaan Malaysia di Laos mengesahkan rakyat Malaysia, Angelin Teh dalam senarai pesawat malang itu.
Bagaimanapun, mangsa tidak mendaftarkan diri dengan pejabat kedutaan.
Seorang pegawai berkata, pihak kedutaan sedang menunggu maklumat lanjut dari syarikat penerbangan itu dan kerajaan Laos.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengesahkan seorang wanita Malaysia, Angelin Teh, terbunuh dalam nahas pesawat di Pakse, sebuah bandar di selatan Laos, pada Rabu.
Beliau berkata, Teh dan suaminya Joel Babcock, warganegara Amerika, dalam perjalanan dari ibu negara Laos, Vientiane, ke Pakse apabila pesawat berkenaan terhempas ke dalam Sungai Mekong dalam cuaca buruk.
"Pihak berkuasa Laos sedang meneruskan usaha mencari mayat mangsa nahas itu," katanya dalam kenyataan di sini.
Anifah berkata keluarga Teh telah dimaklumkan tentang perkara itu dan sedang membuat persiapan untuk terbang ke Laos dengan bantuan Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di negara itu.
Anifah berkata keluarga Teh telah dimaklumkan tentang perkara itu dan sedang membuat persiapan untuk terbang ke Laos dengan bantuan Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di negara itu.
"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Angelin Teh dan keluarga lain yang terlibat dalam nahas itu. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat yang memilukan ini," katanya.
Sementara itu, agensi berita AP melaporkan nahas berkenaan melibatkan 49 orang dari 11 negara. - Bernama
0 comments:
Post a Comment