Searching...

Get This

Friday, November 8, 2013
8:13 AM 0

Pengawal asing: Majikan ditahan


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Seorang pengarah sebuah syarikat kawalan keselamatan menjadi majikan pertama ditahan hari ini dalam operasi pasukan khas ditubuhkan Imigresen sejak Jumaat lalu, bagi membanteras pengawal keselamatan warga asing yang bekerja secara haram.

      Dalam operasi selama dua jam di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini bermula pukul 11 pagi, pasukan terbabit turut menahan 15 pengawal keselamatan yang bekerja secara haram.
Ketua Unit Tindakan Imigresen Putrajaya, Abd. Malik Bujang berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama dua minggu dan mendapati pusat beli-belah tersebut melakukan kesalahan dengan menggaji pekerja warga asing sebagai pengawal keselamatan.

     Menurut beliau, hasil serbuan tersebut seramai 31 pengawal keselamatan daripada empat syarikat kawalan keselamatan telah diperiksa dan menahan 14 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun warga Nepal, Indonesia, Pakistan dan Sri Lanka.

     “Pemeriksaan mendapati hanya seorang daripada mereka mempunyai permit bekerja tetapi dalam sektor perladangan manakala selebihnya tidak mempunyai permit kerja.
“Malah, kita turut menahan seorang pengarah daripada sebuah syarikat kawalan keselamatan berusia 28 tahun kerana menggaji dan melindungi pekerja asing," katanya ketika ditemui dalam operasi tersebut.

      Operasi pemeriksaan pengawal keselamatan di pusat beli-belah terbabit melibatkan 16 anggota dan pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Abd. Malik seterusnya berkata, kebanyakan pemilik syarikat yang menggaji warga asing sebagai pengawal keselamatan memberi alasan individu terbabit rajin bekerja dan gaji yang diberikan lebih murah berbanding warga tempatan.

“    Penubuhan pasukan petugas untuk memeriksa dokumen bagi setiap pengawal keselamatan ini telah bermula pada Jumaat lalu di seluruh negara dan memfokuskan kawasan pusat beli-belah, perumahan dan sekolah.

    “Kita juga akan menjalankan pemeriksaan di sektor kerajaan jika terdapat laporan mengatakan lokasi berkenaan menggaji pekerja warga asing sebagai pengawal keselamatan tanpa permit yang sah," katanya.
Tambah beliau, kesemua warga asing yang ditahan selama 14 hari itu disiasat mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas dan dihantar ke Lokap Jabatan Imigresen Putrajaya dekat sini untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
       “Bagi pengarah syarikat kawalan keselamatan pula ditahan bagi tempoh 24 jam dan boleh dilanjutkan sehingga 14 hari dan disiasat di bawah Seksyen 55 (B) dan 56(1)(d) Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi yang membawa hukuman denda RM10,000 hingga RM50,000 bagi setiap pekerja atau hukuman penjara.

sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...