Searching...

Get This

Friday, November 8, 2013
8:09 AM 0

SIKAP 'SEKEJAP SAHAJA' (MENGUNDANG BAHANA)

Sejak 23 Oktober lalu, saya(Mazidul Akmal Sidik) banyak menulis berhubung masalah ditimbulkan oleh pengawal keselamatan warga asing di Malaysia. Semoga Kementerian Dalam Negeri serta agensi penguat kuasa kerajaan lain akan terus berusaha gigih memperbetulkan keadaan selama ini bak dipandang sebelah mata.

Terantuk baru terngadah, itulah antara sikap dipraktikkan oleh sebilangan pihak berkuasa dan masyarakat selama ini. Kita leka dan cuai sehingga mengundang pelbagai kes jenayah berlaku.

Andai diamati, ramai antara kita gemar mengamalkan sikap 'sekejap sahaja'.

"Kunci pintu kereta, anak di dalam," pinta isteri.

"Alah! Sekejap sahaja," balas suami. 

Sambil kedua mereka berjalan seiringan ke kedai serbaneka terletak 50 meter dari kenderaan untuk membeli barang keperluan, sekaligus meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tidak berkunci dan enjin dihidupkan. Itu antara contoh lazim sikap 'sekejap sahaja' dan ternyata berulang kali mengakibatkan bahana kepada manusia. Bukan sahaja manusia menjadi mangsa keadaan sikap sambil lewa itu, malah barangan berharga seperti komputer riba, wang tunai dan telefon bimbit. 

Penjenayah mengintai gerak-geri kita, hanya menunggu peluang untuk menangguk di air keruh serta meraih keuntungan. Mereka tidak perlu meminta kebenaran untuk melarikan kenderaan milik kita sekaligus membahayakan nyawa insan kecil kita sayangi. Hanya pintu dan cermin memisahkan penjenayah dengan zuriat kita dan harta di dalam kenderaan, bukan tembok batu berpintu besi dilengkapi oleh CCTV. 







Kekadang secara disedari, ramai juga antara kita kerap meninggalkan pintu rumah tanpa dikunci. Walhal mengunci pintu hanya mengambil masa kurang 10 saat.

"Saya hendak pergi membeli serai di kedai hadapan rumah, dekat, sekejap sahaja," kata wanita bergelar ibu dan isteri kepada jirannya.

Leka bersembang dengan jiran lain ditemui di kedai runcit, dalam tempoh 10 minit, rumah digeledah oleh pencuri dan dia kehilangan harta selama ini dibeli dengan keringat suami bekerja.

Saya perhatikan, sebilangan pemilik motosikal juga sering kali bersifat cuai. Kunci kenderaan ditunggang itu ditinggalkan terjuntai, enjin hidup.

"Sekejap sahaja, saya hendak membeli air minuman bungkus di kedai mamak," kata mereka.

Dalam sekelip mata,  penjenayah kemudian melarikan diri meninggalkan pemilik dengan mata terkebil-kebil. Rugikah sekiranya sebelum melangkah jauh dari motosikal diparkir, tarik anak kunci dan simpan di dalam poket?

Kepada semua pembaca, beringat sebelum kena. Buangkan sikap 'sekejap sahaja' kerana merugikan kita.

Jenayah di Malaysia semakin meningkat oleh itu, luangkan masa untuk mencari cara-cara mencegah jenayah melalui internet dan melalui sumber-sumber yang lain.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...