“Siasatan awal mendapati, mayat wanita yang rentung 90 peratus sehingga tinggal tulang dan tengkorak itu dipercayai dibakar di dalam perigi berkenaan selepas dibunuh di tempat lain.

“Susulan kejadian, kurang 12 jam penemuan mayat, empat lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 23 hingga 39 tahun bersama seorang lagi wanita Indonesia  berusia 29 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Semabok dan Rembia,”  katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, semalam.

Umar berkata, tiga lelaki Indonesia dan wanita yang ditahan antara jam 1 dan 8 pagi semalam adalah rakan serumah mangsa, manakala lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu adalah kenalan semua suspek.

“Mangsa bekerja di ladang cendawan di Lendu dan Ahad lalu majikannya ada membuat laporan berhubung mangsa yang tidak datang bekerja disyaki melarikan diri.

“Siasatan mendapati cemburu antara suspek wanita dan si mati menjadi motif pembunuhan berkenaan.

"Si mati dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang lelaki warganegara sama yang ditahan,” katanya.

Menurutnya, penangkapan kelima-lima suspek telah hampir berjaya menyelesaikan kes tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya kini masih memburu seorang lelaki juga warga Indonesia yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.