Searching...

Get This

Sunday, December 1, 2013
3:11 PM 0

10 lagi diburu kes bunuh Raffli




KOTA KINABALU  - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu 10 lagi ahli kumpulan 'Tuhan Harun' meskipun telah menyelesaikan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik pada 10 November lalu, ekoran penahanan 13 anggota kumpulan ajaran sesat itu semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya percaya kes itu akan dapat diselesaikan sepenuhnya dengan penangkapan 10 lagi individu yang diburu tersebut.
Beliau turut mengesahkan pistol dirampas semalam dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan pegawai JAIP berkenaan.
"Saya percaya PDRM akan dapat menyelesaikan terus kes ini dengan penangkapan 10 lagi pengikut ajaran sesat ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (Sekam) 2013 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah
Menurut Khalid, kesemua 10 individu berkenaan ialah Mohd. Shahril Mohd. Jaafar, 28, beralamat terakhir di Kedah; Mohamed Faizal Abdullah, 46, (Johor); Mohd. Rozi Akasah, 38, (Melaka); Khairul Amir Akasah, 34, (Negeri Sembilan) dan Mansur Hussin, 39, (Kelantan).
Katanya, lima lagi ialah Shamsinar Abdul Halim, 36, (Johor); Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, (Melaka); Jefferi Safari, 36, (Johor); Wan Mohd. Shakri Wan Isa @ Wan Ismail, 27, (Kelantan) dan Shamsul Amri Abu Hassan, 44, (Pahang).
Semalam, Khalid mengumumkan kejayaan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan Ahmad Raffli menerusi Twitter beliau ekoran penahanan 13 ahli kumpulan 'Tuhan Harun' termasuk dua wanita.
Katanya, susulan penahanan itu, pihaknya turut merampas sepucuk pistol daripada kumpulan terbabit.
Dalam kejadian itu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak tiga das dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki berjubah hitam dan berkopiah di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...