Parit Buntar: Seorang ibu tunggal hanya mampu menahan linangan air mata berikutan perlu menjaga anak lelakinya yang ‘hilang’ tempurung kepala akibat kemalangan sejak setahun lalu.
Mariam Long, 49, berkata, anaknya Abdul Hadi Abd Halim 19, hanya mampu terbaring dan perlu diberi perhatian sepanjang masa termasuk urusan makan minum di rumah mereka di Kampung Kedai 4, Sungai Kota, Tanjung Piandang, di sini.
Katanya, kemalangan berlaku pada jam 9.45 pagi 5 Disember lalu apabila anaknya yang menunggang motosikal ke Sungai Nyor, Pulau Pinang dirempuh kereta.
“Anak saya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Pulau Pinang selama dua minggu dan terpaksa dibuang tempurung kepalanya akibat kecederaan dalaman di beberapa bahagian dalam kepalanya.
“Anak saya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Pulau Pinang selama dua minggu dan terpaksa dibuang tempurung kepalanya akibat kecederaan dalaman di beberapa bahagian dalam kepalanya.
“Saya terus terduduk menangis ketika itu kerana tidak percaya kecederaan yang dialami anak begitu parah. Saya terpaksa merelakan pembedahan membuang tempurung kepala itu bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya.
Menurutnya, dia mulanya tidak berani menatap wajah anaknya selepas pembedahan, namun naluri keibuan di dalam dirinya menyebabkannya menguatkan semangat untuk melihat dari dekat.
“Saya kini berkorban masa, tenaga dan wang untuk menguruskannya setiap hari. Sedikit pun saya tidak terasa beban dan menganggapnya ketentuan Ilahi.
“Anak saya perlu perhatian 24 jam kerana hanya terlantar dan tidak mampu melakukan sebarang pergerakan. Segala urusan harian seperti mandi, menukar lampin dan makan perlu dilakukan dengan dibantu seorang lagi anak Muhammad Faiz, 23, yang mengalami masalah kecacatan pendengaran,” katanya.
Dia dan anak lain bergilir-gilir membuang kahak di dalam rongga leher Abdul Hadi yang ditebuk berikutan bimbang menyebabkan anaknya tersedak.
“Bukan itu saja, tangan dan kakinya juga perlu digerakkan supaya tidak menjadi kaku. Kos rawatan bulanan anak termasuk susu khas dianggarkan mencecah sehingga RM1,000 sebulan.
“Mujurlah saya menerima wang pencen arwah suami Abdul Halim Ismail yang pernah bertugas sebagai tentera,” katanya.
Dia juga menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Selagi hidup saya akan terus menjaganya dan berharap dia kembali pulih sepenuhnya,” katanya yang turut memelihara seorang lagi anak orang kurang upaya (OKU), Norhayati Abdul Halim, 16,” katanya.
0 comments:
Post a Comment