Searching...

Get This

Tuesday, December 17, 2013
8:40 AM 0

Pengarah hotel dituduh noda amah

Ipoh: Seorang pengarah sebuah hotel di Sitiawan, dekat sini, didakwa di Mahkamah Sesyen, Ipoh, semalam, atas tuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumahnya, empat bulan lalu.
Tertuduh, Ting King Siang, 30, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 21 tahun di sebuah rumah bernombor 205, Taman Dinding, Air Tawar, Manjung, jam 1 pagi, pada 27 Ogos lalu.

King Siang, dituduh mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh yang diwakili peguam Mahinderjit Singh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mahkamah kemudian menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 6 Februari tahun depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bersama seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nadia Shariff memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah menerima laporan perubatan mangsa berhubung kes terbabit, namun pihaknya masih menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, kes membabitkan seorang suri rumah, Choong Mee Chin, 30, yang didakwa mendera anak perempuannya sehingga parah pada 12 Ogos lalu dan mati 13 hari kemudian, ditetapkan pada 6 Januari depan untuk sebutan semula, berikutan pendakwaan masih memerlukan masa bagi meneliti dan mengemaskini maklumat mengenai kes itu termasuk laporan perubatan dan DNA.

Choong didakwa mengikut Seksyen 31(1), Akta Kanak-Kanak 2001 kerana memukul kepala dan seluruh badan anaknya, Ho Yan Hui, lima tahun, dengan menggunakan kayu rotan di ruang tamu rumahnya di No 19, Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu, di sini, kira-kira jam 9 pagi, pada 12 Ogos lalu.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 325, Kanun Keseksaan (KK) iaitu sengaja mendatangkan cedera parah ke atas mangsa pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

0 comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...